Social Icons

Pages

Senin, 10 Februari 2014

Senarai hitam Toleransi dengan peminjam PTPTN

Harakahdaily, 14 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan melonggarkan tindakan menyenarai hitamkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dilaporkan seramai 132,801 peminjam PTPTN telah disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen sehingga 30 September lepas.

“DPPM menganggap tindakan kerajaan menyenarai hitamkan golongan ini telah menyukarkan mereka dalam menghadapi kehidupan yang mencabar,” ujar Ketua Penerangan DPPM, Dr Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Ini, ujarnya kerana kebanyakan peminjam PTPTN adalah dari kalangan golongan berpendapatan rendah atau sederhana, dan bukan semua mereka mampu membayar balik hutang mereka.

Apatah lagi, kata beliau sekiranya kerajaan menyekat hak mereka untuk keluar negara, ia pasti memberi kesan terutama bagi mereka yang perlu berurusan ke luar negara.

Menurutnya, majoriti daripada peminjam iaitu sebanyak 903,920 atau 68 peratus telah membayar balik pinjaman berjumlah RM4.82 bilion.

Beliau berkata, ini bererti kebanyakan peminjam telah menjelaskan hutang mereka dan hanya berbaki beberapa peratus tidak menjelaskannya.

“Seharusnya kerajaan bertoleransi dengan baki mereka ini dengan mengenal pasti punca dan permasalahan mereka supaya mereka juga berpeluang menikmati hidup sama seperti insan yang lain,” ujarnya lagi.

Menurutnya, ada kemungkinan baki yang gagal menjelaskan pinjaman mereka menghadapi masalah tertentu seperti kewangan, pekerjaan, kesihatan dan lain-lain lagi.  

Sehubungan itu, kata beliau DPPM berharap kerajaan mengambil langkah lain selain daripada senarai hitam.

“Perbincangan dan pertemuan di samping toleransi antara kerajaan dan para peminjam panting bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat dengan tiada tindakan drastik dan keterlaluan dilakukan terhadap pihak yang lain,” ujarnya lagi.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar